fb fb fb fb fb

Temasya SUKMA XX MSN 2022 buka tirai secara rasmi

(Ratu Tenpin Boling negara Shalin Zulkifli menyalakan obor temasya sebagai gimik perasmian
perasmian SUKMA 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) / BERNAMA)

BANGI, 17 September- Temasya sukan terbesar negara kembali lagi setelah empat tahun ia tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19.

Tirai SUKMA edisi ke 20 dibuka secara rasmi dengan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Perasmian SUKMA XX MSN 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia, malam tadi.

Kali ini SUKMA ke-20 MSN 2022 dikelola Majlis Sukan Negara (MSN) sendiri sekaligus menjadi tuan rumah pada temasya yang mempertandingkan 426 acara dari 31 jenis sukan di sekitar Lembah Klang, Nilai dan Langkawi.

Upacara perasmian dimulakan dengan perarakan masuk maskot setiap negeri yang pernah menjadi tuan rumah sebelum ini, termasuk maskot SUKMA 2022 yang diberi nama 'Oyen'.

Majlis kemudian diteruskan dengan perarakan masuk setiap kontinjen negeri bermula dengan Terengganu yang muncul juara keseluruhan pada edisi 2018 di Perak selepas mengumpul 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Upacara diteruskan dengan ucapan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diikuti ucapan perasmian daripada Perdana Menteri yang selepas itu diberikan penghormatan untuk menekan butang sebagai simbolik perasminan temasya kali ini.

Bendera SUKMA 2022 kemudian dibawa masuk dan dinaikkan oleh empat atlet kebangsaan - Choong Javen (ping pong), Ng Joe Ee (gimrama), R Shamendran (karate) dan Muhammad Aznil Bidin (angkat berat).

Seterusnya, obor temasya dinyalakan oleh legenda boling negara, Shalin Zulkifli diikuti bacaan ikrar yang diketuai atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan.

SUKMA ke-20 dianjurkan semula dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah selepas temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada tahun 2020 di Johor berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Persembahan khas Datuk Awie, Jaclyn Victor dan Amir Masdi menjadi tumpuan apabila telah melonjakkan semangat ahli kontinjen yang hadir dengan persembahan lagu ‘Demi Malaysia’ diikuti laungan Demi Malaysia pada klimaks majlis itu.

Diadakan di dalam dewan tertutup berbanding stadium terbuka, persembahan bunga api memukau yang selalunya menjadi tarikan utama kali ini digantikan dengan pelbagai persembahan menarik dan futuristik termasuk tarian LED serta pukulan dram yang mengegarkan dewan. 

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 


(Atlet Angkat Berat Kebanggsaan Mohamad Aniq Kasdan (kiri) mengetuai lafaz ikrar semasa

upacara perasmian SUKMA 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) / BERNAMA)

Media Baharu