fb fb fb fb fb

Temasya sukan Para SUKMA, lahir atlet hebat - Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/ BERNAMA

KUCHING, 22 September- Peruntukan khusus program pembangunan sukan kurang upaya seluruh negeri diperlukan untuk melahir serta membangunkan lebih ramai bakat di Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata sebagai perancangan strategik untuk tahun hadapan, beliau telah menyuarakan perkara tersebut kepada Menteri Kewangan II untuk cadangan Belanjawan 2025.

Hannah juga menyeru setiap Jabatan Sukan Negeri serta Majlis Sukan Negeri untuk memperbanyakkan lagi progam pencarian terutamanya atlet para wanita sebagai inspirasi kepada yang lain bahawa mereka mampu.

Beliau berucap sempena Majlis Perasmian Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Stadium Perpaduan di Kuching.

Menyentuh mengenai Para SUKMA, beliau berkata temasya tersebut terbukti berkesan dalam melahirkan atlet yang hebat.

"Sudah tidak disangkal lagi bahawa Para SUKMA terbukti berkesan dalam melahirkan atlet hebat. Daripada 30 atlet Team MAS ke Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini, 19 atlet adalah yang lahir daripada Para SUKMA yang lalu", ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar usaha untuk mengenal pasti bakat-bakat baru terus diperhebat dan berharap Para SUKMA terus menjadi platform melahirkan lebih ramai juara yang mampu bersaing peringkat global.

Temasya Para SUKMA 2024 membuka tirai dengan Majlis Perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dihadiri lebih 5,000 atlet, pegawai serta para jemputan di stadium berkenaan.

Majlis tersebut dilengkapkan dengan lafaz ikrar diketuai oleh atlet olahraga Leeyendy Jisen Abdullah yang telah melibatkan diri dalam Para SUKMA sejak 2004 hingga kini serta Arang Kannal Sondarajan, Ketua Delegasi Teknikal Olahraga yang mewakili semua pegawai teknikal Para SUKMA Sarawak 2024.

Sementara itu, wira Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin yang telah memenangi pingat emas dalam Paralimpik Paris baru-baru ini, menyalakan obor temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Seramai 2,111 atlet dan pegawai yang mewakili 15 kontinjen dari seluruh negara terlibat dalam temasya sukan yang berlangsung selama lima hari.

 

ROSLINA BINTI DIN