MADRID, 23 September- Atletico Madrid kehilangan dua mata selepas seri 1-1 dengan Rayo Vallecano pada Ahad dalam aksi La Liga, sekali gus jatuh ke tempat keempat di kedudukan carta.
Pasukan kendalian Diego Simeone itu kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Barcelona selepas enam perlawanan, apabila pasukan Catalan itu mencatat kemenangan besar 5-1 di Villarreal.
Conor Gallagher menyelamatkan Atletico dengan gol penyamaan di Stadium Vallecas Rayo selepas Isi Palazon meletakkan tuan rumah di hadapan dalam pertembungan derby Madrid.
Pemain bintang Atletico yang baru dibeli musim panas ini, Julian Alvarez, hampir menjaringkan gol dengan satu percubaan jarak jauh yang terkena palang pada separuh masa pertama, tetapi Rayo lebih mendominasi permainan.
Palazon menjaringkan gol dari jarak dekat selepas menerima hantaran silang Andrei Ratiu pada minit ke-35, dan gol tersebut akhirnya disahkan selepas awalnya dibatalkan kerana ofsaid.
Namun, Gallagher berjaya menyempurnakan peluang dari tepi kotak penalti pada awal separuh masa kedua selepas menerima hantaran daripada Alexander Sorloth.
"Ia tempat yang sukar untuk bermain, kami tahu bagaimana Rayo memberikan tekanan," kata kapten Atletico, Koke kepada Movistar.
"Kami ada peluang untuk menang, tetapi tidak kesampaian."
Sementara itu, Athletic Bilbao memintas Atletico untuk naik ke tempat ketiga dengan kemenangan 3-1 ke atas Celta Vigo pada Ahad, hanya satu mata di belakang Real Madrid yang berada di tempat kedua selepas membelasah Espanyol 4-1 pada Sabtu.- AFP