fb fb fb fb fb

Teka teki sama ada Wan Ahmad Kuzri sertai skuad kebangsaan atau tidak, dimuktamadkan esok



KOTA KINABALU, 6 Februari - Menjelang perlawanan Piala AFF 2022 Bawah 23 tahun di Phnom Penh Kemboja , 14 Februari ini.

Keputusan sama ada pemain berpangkalan di Amerika Syarikat , Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal akan menyertai skuad kebangsaan akan dimuktamadkan esok.

Ketua Jurulatih Brad Maloney mengakui, pihaknya kesuntukan masa dan perlu memuktamadkan senarai pemain secepat mungkin.

"Sejujurnya, kami kesuntukan masa saya masih belum mendengar apa-apa (perkembangan) dalam tempoh 24 jam yang lalu saya telah cuba berhubung dengannya dan seperti yang saya katakan, masa semakin suntuk, kami mungkin membuat keputusan pada Isnin (esok),” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan antara skuad B-23 Malaysia dan Sabah FC di Stadium Likas.

Maloney berharap dapat menggunakan khidmat Wan Ahmad Kuzri untuk skuad negara di Kemboja tetapi memandangkan pemain itu menghadapi beberapa masalah di AS, menyebabkan beliau tiada pilihan terpaksa membuat keputusan akhir esok bagi persiapan AFF B-23 yang ditetapkan bermula 14 Februari.

Pada perlawanan malam Ahad, Malaysia B-23 seri 1-1 dengan Sabah FC menyaksikan anak didik Maloney, T Saravanan menjaringkan gol pertama pada minit ke-76 sebelum Stuart Wilkins menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit ke-81.

Mengulas mengenai prestasi pasukan itu dalam perlawanan tersebut, jurulatih kelahiran Australia itu berkata, secara keseluruhan beliau gembira dengan aksi anak buahnya yang bermain tanpa rasa gentar dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol serta mempamerkan keserasian yang baik antara mereka.

“Masih memikirkan kesebelasan utama, pasukan baru digandingkan, ramai pemain baharu dalam kumpulan ini. Kami perlu memberi peluang kepada semua pemain untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan dalam senarai akhir, kami akan terus berusaha,” katanya lagi.- BERNAMA

Media Baharu