KANGAR, 26 Oktober - Lebih 300 peserta memeriahkan Karnival Sepak Penalti dan Netball Shooting Challenge 2025, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Bahagian Kangar.
Penyertaan karnival khusus buat warga pendidik di Parlimen Kangar itu melibatkan 37 pasukan bagi Sepak Penalti dan 25 pasukan bagi Netball Shooting Challenge bertemakan “Mencari Che’Gu Shaari dan Che’Gu Murni.
Menurut Penaung Pertubuhan Sukarelawan Malaysia (MYVO), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, pelaksanaannya bagi memberi penghargaan kepada warga pendidik ke arah gaya hidup sihat dan aktif.
Ia juga susulan kejayaan penganjuran Karnival Sepak Penalti Petugas Barisan Hadapan yang berjaya dilaksanakan sebelum ini bagi menghargai sumbangan kepada masyarakat.
"Program mencari Che’Gu Shaari dan Che’Gu Murni ini idea yang kita lakarkan untuk penglibatan dengan warga pendidik, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan warga pendidik dalam seluruh Parlimen Kangar yang mana komitmen dengan guru-guru ini dengan warga pendidik ini kita telah adakan sejak dahulu lagi.
Cuma kali ini kita besarkan sedikit saiznya, kita jemput cikgu-cikgu, kita jemput pekerja-pekerja di jabatan, pekerja-pekerja di sekolah terlibat dalam program ini", katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
"Program dijayakan hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Pertubuhan Sukarelawan Malaysia, Majlis Perbandaran Kangar, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Pertubuhan ABATA Sukan Rekreasi (ABATA)", katanya.