KUALA LUMPUR, 30 April- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan tarikh akhir bagi kelab-kelab Liga Super memuat naik dokumen Pelesenan Kelab dilanjutkan hingga 10 Mei depan.
Pengerusi First Instance Body (FIB) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan permohonan beberapa kelab yang meminta lanjutan masa untuk melengkapkan dokumentasi pelesenan masing-masing.
"Jawatankuasa FIB bersetuju untuk memberikan lanjutan masa kepada semua kelab bagi melengkapkan dokumen berkaitan Pelesenan Kelab Kitaran 2024–2025 untuk Lesen Kebangsaan di dalam sistem pelesenan AFC CLAS.
"FIB telah menetapkan 10 Mei 2025 sebagai tarikh akhir untuk semua kelab Liga Super melengkapkan dokumentasi pelesenan yang masih belum lengkap," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama beliau berharap agar tempoh lanjutan masa yang diberikan akan dimanfaatkan sepenuhnya semua kelab terlibat bagi menyelesaikan segala dokumentasi sebelum tarikh akhir baharu tersebut.