MEXICO CITY, 1 Mei- Bandar raya Mexico City akan terus menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1), sekurang-kurangnya tiga tahun lagi selepas kontrak penganjuran dilanjutkan sehingga tahun 2028.
Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali berkata sambungan kontrak itu dibuat selepas mengambil kira sambutan luar biasa daripada peminat serta impak positif perlumbaan terhadap bandar raya berkenaan.
"Kami sangat teruja untuk mengumumkan bahawa Grand Prix Mexico City akan kekal dalam kalendar kami sehingga tahun 2028.
F1 adalah mengenai tenaga, semangat dan emosi dan setiap tahun suasana unik yang dicipta oleh para peminat di Mexico City merupakan antara pengalaman paling luar biasa dan bertenaga dalam kejuaraan ini," katanya.
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada pula menyifatkan bandar itu sebagai "rumah kepada Formula 1" dan menjangkakan Grand Prix tahun depan bakal menjana pendapatan sekitar 21 bilion peso (kira-kira AS$1.1 bilion) untuk ekonomi tempatan.
"Grand Prix ini bukan sahaja menarik minat peminat sukan permotoran, malah turut merangsang ekonomi tempatan, mengukuhkan infrastruktur pelancongan serta membangkitkan rasa bangga dalam kalangan warga kota," kata Clara.
Dengan ketinggian melebihi 2,200 meter dari paras laut, Mexico City memberi cabaran unik kepada pasukan dan pelumba, khususnya dari aspek prestasi turbo, sistem penyejukan dan brek yang terkesan akibat atmosfera nipis.
Perlumbaan F1 kembali ke Litar Autodromo Hermanos Rodriguez di Mexico City pada tahun 2015 selepas 23 tahun menyepi dan sejak itu menjadi antara acara yang paling dinantikan oleh peminat di negara Amerika Latin tersebut.
Grand Prix Mexico City tahun ini dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober.- AFP