fb fb fb fb fb

Tangkak jadi tumpuan aksi RCB MiniMoto Pusingan 3

Kejohanan RCB MiniMoto menjadi platform pembangunan bakat muda dalam dunia perlumbaan motosikal tempatan

TANGKAK, 25 Julai – Selepas dua pusingan penuh aksi, Kejohanan RCB MiniMoto kembali menjadi tumpuan dengan pusingan 3 yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Litar Lumba Tangkak, Johor.

Perlumbaan kali ini turut menjadi acara sokongan kepada siri FIM MiniGP Malaysia, menjanjikan aksi mendebarkan daripada pelumba muda yang semakin menyerlah.

Tumpuan terarah kepada Adra Mikayla dan Fayyadh Anaqi yang mempamerkan saingan sengit dalam pusingan terdahulu di Litar Horizon, Beranang. Adra mengejutkan penonton dengan kemenangan dalam Perlumbaan 1, manakala Fayyadh bangkit dengan prestasi dominan pada Perlumbaan 2.

Kehadiran Adra Mikayla sebagai salah seorang pelumba perempuan membuka ruang penyertaan lebih luas dalam sukan permotoran 'junior' yang kebiasaannya didominasi lelaki. Namun, dia tidak dapat meneruskan saingan pada pusingan ini kerana had umur ditetapkan peraturan teknikal.

Selain itu, pelumba muda seperti Wan Haqim Al Mahdi dan Raqib Rozman yang berjaya meraih tempat ketiga di Beranang turut dijangka memberi saingan sengit di Tangkak.

Dengan konfigurasi litar yang mencabar melalui selekoh berkelajuan tinggi serta zon membrek teknikal, 15 pelumba yang disahkan bertanding dijangka menyajikan perlumbaan lebih sengit.

Kejohanan RCB MiniMoto menjadi platform pembangunan bakat muda dalam dunia perlumbaan motosikal tempatan, selain mendidik pelumba mengenai disiplin dan budaya tunggangan selamat.

Ia juga merupakan sebahagian visi jangka panjang RCB dalam melahirkan pelumba profesional, sekali gus membuka laluan kepada pelumba MotoGP Malaysia pada masa hadapan.

 

2507 SKN RCB MINIMOTO2Carta keseluruhan pelumba

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE