fb fb fb fb fb

Tang Jie-Ee Wei sahut cabaran, rangkul pingat emas pada Sukan SEA Thailand

Toh Ee Wei (kanan) dan Chen Tang Jie

KUALA LUMPUR, 30 November - Juara dunia beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sedia menyahut cabaran Ketua Jurulatih Kebangsaan Nova Widianto, untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand, bulan depan.

Ee Wei berkata sasaran itu merupakan bukti kepercayaan Nova terhadap kemampuan mereka untuk merampas semula pingat emas Malaysia yang pernah dimenangi Tang Jie bersama gandingannya Peck Yen Wei pada 2021 di Vietnam.

"DIA (Ketua Jurulatih Kebangsaan) yakin dengan kemampuan pasukan dan sudah tentu perlu memberikan yang terbaik dalam setiap sesi latihan.

"Baginya, kejayaan bukan sekadar meraih pingat, tetapi memastikan setiap latihan dilaksanakan sebaik mungkin agar apabila turun ke gelanggang, mereka dapat mempamerkan aksi terbaik.

"Menang atau kalah adalah perkara kedua, namun mereka tetap akan berjuang untuk setiap mata dan berusaha memberikan yang terbaik demi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama Ajinomoto (Malaysia) Berhad di ibu negara.

Baru-baru ini, Nova dilaporkan berkata berdasarkan prestasi semasa, beregu campuran di ranking ketiga dunia itu mampu mencapai sasaran ditetapkan kepada mereka.

Sementara itu, Tang Jie berkata mereka lebih selesa untuk memberi perhatian kepada prestasi sendiri berbanding menganalisis lawan, termasuk beregu campuran tuan rumah yang juga gandingan keempat dunia Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, yang merupakan saingan utama merebut pingat emas.

"Untuk kami, saya rasa kami sentiasa fokus kepada diri sendiri sahaja kerana setiap minggu adalah permulaan baharu. Macam yang Ee Wei cakap, rutin harian yang kami buat itu paling penting untuk kami berdua.

Apabila bercakap tentang lawan, kami pun tak boleh letak sebarang jangkaan. Jadi, apa yang saya dan Ee Wei boleh lakukan ialah memastikan gandingan kami sentiasa teratur dan menjaga kesihatan tubuh badan supaya berada dalam keadaan terbaik," katanya.

Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember depan di dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi, Thailand.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI