RIYADH, 30 November - Al Hilal mara ke separuh akhir Piala Raja selepas menewaskan Al Fateh 4-1 dalam aksi suku akhir pada Sabtu (29 November), sekali gus meneruskan misi memburu trofi pada musim pertama kendalian Simone Inzaghi.
Beraksi di laman sendiri, Al Hilal menguasai perlawanan sepenuhnya dan tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya, di mana mereka akan bertemu pemenang perlawanan antara Al-Ittihad dan Al-Shabab.
Dalam pertembungan yang mengulangi aksi Liga Pro Saudi hujung minggu lalu, Al Hilal membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi penyerang Brazil, Malcom. Dua minit kemudian, pemain tengah Portugal, Ruben Neves menggandakan kedudukan sebelum Hassan Al Tambakti menambah gol ketiga menjelang waktu rehat.
Tuan rumah terus menekan pada babak kedua dan gerakan solo Theo Hernandez membolehkan beliau melakukan hantaran tepat untuk disudahkan pemain Argentina, Marcos Leonardo bagi gol keempat.
Al Fateh hanya berjaya memperoleh gol saguhati pada masa kecederaan apabila Matias Vargas meledak dari luar kotak penalti.- REUTERS