fb fb fb fb fb

Syaiful perbaiki prestasi, tamat saingan Paralimpik 2024 di tempat ketujuh

Perenang para negara, Nur Syaiful beraksi dalam acara 50M gaya bebas Lelaki S5 (kecacatan fizikal ) akhir Sukan Paralimpik Paris 2024/ BERNAMA

PARIS, 6 September- Hasrat perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli untuk meraih pinggat Sukan Paralimpik Paris 2024 kecundang selepas menamatkan saingan tempat ketujuh dalam acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dalam temasya berkenaan.

Nur Syaiful yang memulakan saingan di lorong kelapan dilihat ketinggalan dari awal saingan dan menamatkan acara terakhirnya di Paris La Defense Arena dengan catatan masa 34.34 saat (s).

Perenang China membolot kesemua pingat ditawarkan dalam acara itu
diketuai Guo Jincheng yang merekodkan masa 29.33s sekali gus memecahkan rekod dunianya sendiri iaitu 29.78s ketika kejohanan di Manchester, Julai 2023.

Pingat perak pula menjadi milik Yuan Weiyi (30.80s) dan gangsa diraih Wang Lichao (31.23s).

Nur Syaiful ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan sepanjang temasya sukan itu berlangsung.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian saya dapat dalam final dan pecah rekod Asia untuk 100 meter kuak dada," katanya.

Nur Syaiful berjaya memperbaiki prestasinya pada final selepas menduduki tempat kelapan dengan catatan 34.51s dan menjadi perenang terakhir menyambar slot ke final daripada dua aksi saringan.

Atlet berusia 29 tahun dari Sarawak itu berada di tempat keempat pada saringan kedua.

Dia yang beraksi dalam dua final sebelum ini menduduki tempat keenam dalam acara 100m gaya bebas lelaki S5 selepas merekodkan 1 minit 16.60s dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 menerusi catatan masa 1:46.71s.

ZEHRA BINTI ZAMBRI