KAMPALA, 5 September - Atlet maraton Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei, telah meninggal dunia pada Khamis (5 September) selepas disiram petrol dan dibakar oleh teman lelakinya beberapa hari lalu.
Menurut Ketua Jawatankuasa Olimpik Uganda, Cheptegei, yang sebelum ini bertanding di Sukan Olimpik Paris dan menduduki tempat ke-44, mengalami kecederaan parah dengan melecur lebih 75% pada tubuhnya dalam serangan yang berlaku di Kenya pada Ahad (1 September).
Cheptegei, yang berusia 33 tahun, mempunyai sebuah rumah di Kenya dan sering berlatih di negara tersebut.
Kematian Cheptegei menjadikannya atlet wanita ketiga yang terbunuh di Kenya sejak Oktober 2021.
Pada 13 Oktober 2021, Agnes Tirop, seorang pelari Kenya yang memecahkan rekod dunia 10km wanita sahaja, ditemukan mati ditikam di rumahnya di bandar Rift Valley, Iten.
Tirop turut memenangi pingat gangsa dalam acara 10,000 meter pada Kejohanan Dunia 2017 dan 2019.
Selain itu, pada April 2022, mayat Damaris Muthee Mutua, seorang atlet Bahrain kelahiran Kenya, ditemui reput di Iten, yang merupakan pangkalan latihan terkenal untuk pelari jarak jauh.
Usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai insiden ini masih diteruskan.