fb fb fb fb fb

KBS sambut baik pertimbangan Sabah untuk Sukan SEA 2027

Hannah Yeoh (empat kanan) selapas melakukan lawatan di perkampungan atlet di Sukan Paralimpik Paris 2024 semalam

PARIS, 6 September- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk mempertimbangkan semula penglibatan mereka dalam penganjuran Sukan SEA 2027.

Menterinya, Hannah Yeoh melahirkan rasa gembira atas pertimbangan itu yang berdasarkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, baru-baru ini.

Namun, beliau menegaskan bahawa keputusan akhir akan dihormati dan diserahkan sepenuhnya kepada perbincangan dalaman Kerajaan Sabah.

"Sabah merupakan salah satu negeri yang telah menyatakan persetujuan melalui surat kepada kita, tetapi kini mereka ingin mempertimbangkan semula.

"Kami menghormati keputusan Sabah, namun Sarawak telah memberi komitmen kuat dan Pulau Pinang serta Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneruskan persiapan kami.

"Keputusan akhir terletak di tangan Sabah untuk diputuskan secara dalaman terlebih dahulu," katanya.

Beliau menyatakan perkara tersebut selepas menyaksikan saingan akhir atlet renang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini.

Dalam pada itu Hannah menyatakan rasa berpuas hati selepas menyaksikan fasiliti yang disediakan oleh Institut Sukan Negara (ISN) untuk kontinjen paralimpik negara di perkampungan atlet di sini.

Beliau juga meninjau menu makanan halal yang disediakan oleh pihak penganjur.

"Saya dapat menyaksikan fasiliti yang diberikan ISN untuk atlet-atlet para dan juga menu halal yang dihidangkan untuk atlet kita," katanya.

Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 berlangsung dari 28 Ogos hingga 9 September ini.

SITI AISHAH MD ISA