fb fb fb fb fb

Aaron-Wooi Yik tidak sertai Terbuka Hong Kong

Pemain beregu lelaki badminton kebangsaan Aaron Chia (kiri) bersama Soh Wooi Yik (kanan)/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 September – Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sah tidak menyertai Terbuka Hong Kong 2024 susulan kecederaan dialami Wooi Yik baru-baru ini.

Jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen berkata proses pemulihan Wooi Yik berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan positif namun pemain berusia 26 tahun itu masih belum boleh menjalani latihan secara intensif.

"Terbuka Hong Kong kita tidak sertai. Kita akan tunggu perkembangan minggu ini sebelum buat keputusan untuk sertai Terbuka China atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Beliau berkata Wooi Yik mengalami kecederaan retak tulang jari kaki ketika perlawanan separuh akhir di Sukan Olimpik Paris 2024, bulan lepas.

Menurut Bin Shen, beliau mahu memberikan laluan kepada proses penyembuhan Wooi Yik agar pulih sepenuhnya dan tidak mahu pemain itu terburu-buru kembali ke gelanggang.

Terbuka Hong Kong 2024 akan berlangsung pada 10 hingga 15 Sept manakala Terbuka China pada 17 hingga 22 Sept ini. - BERNAMA

NAZIRATUL BALQIS BINTI AHMAD HAMIDI