LONDON,13 Julai - Iga Swiatek menewaskan Amanda Anisimova 6-0, 6-0 dalam perlawanan akhir perseorangan wanita Wimbledon paling berat sebelah selama 114 tahun untuk memenangi gelaran Grand Slam keenamnya.
Pilihan kelapan dari Poland itu menguasai permainan dari mata pertama dan melengkapkan kemenangan dalam masa 57 minit sahaja dengan mempamerkan ketepatan pukulan di Gelanggang Utama.
Ia adalah kali pertama seorang wanita memenangi perlawanan akhir di Wimbledon tanpa kehilangan satu perlawanan sejak 1911, apabila Dorothea Lambert Chambers dari Britain menang dengan keputusan yang sama.
Swiatek, 24, pemain kedua dalam era Terbuka yang memenangi kejuaraan utama tanpa kalah dalam perlawanan akhir sejak Steffi Graf mengalahkan Natalia Zvereva di Terbuka Perancis 1988.
"Ia kelihatan sangat nyata.
"Saya tidak pernah bermimpi pun, bagi saya ia terlalu jauh. Saya rasa saya sudah menjadi pemain berpengalaman selepas memenangi Slam sebelum ini tetapi saya tidak pernah menjangkakan yang ini.
“Tahun ini saya menikmatinya dan merasakan prestasi saya semakin meningkat di sini." kata Swiatek, yang muncul juara perseorangan Wimbledon pertama dari Poland dan kini telah memenangi kejohanan utama di semua permukaan.
Swiatek hanya tewas satu set sepanjang kejohanan dalam laluan memenangi trofi pertamanya di atas gelanggang rumput, dua minggu selepas mara ke akhir acara itu di Bad Homburg.
Terdahulu pilihan ke-13 dari Amerika Syarikat (AS) Anisimova dijangka mampu memberi saingan selepas menumbangkan pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka pada separuh akhir, tetapi Swiatek membuktikan dirinya lebih unggul.
Swiatek kini merekodkan 100 kemenangan dalam perlawanan Grand Slam sepanjang kariernya, telah memenangi Terbuka Perancis empat kali dan juga Terbuka AS, pada 2022.
Prestasi terbaiknya sebelum ini di Wimbledon ialah mara ke suku akhir pada 2023. - AFP