GEORGE TOWN, 12 Julai - Kelab Sepaktakraw Jelutong Pantai dilihat berpotensi menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan atlet sukan tersebut di negeri itu.
Penasihat kelab, Salim Mohd Yusoff berkata, kelab berkenaan bukan sahaja pernah melahirkan pemain untuk mewakili Pulau Pinang dan negeri lain, malah turut menyumbang bakat ke peringkat kebangsaan.
"Penubuhan kelab ini sebenarnya bertujuan untuk membantu membangunkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.
Melihat kepada prestasi semasa yang masih belum menunjukkan peningkatan ketara, kami di sini ingin memainkan peranan membantu Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang melahirkan lebih ramai juara yang mampu mewakili negara di pentas antarabangsa," katanya ketika ditemui media pada Majlis Reunion Legenda Sepak Takraw Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.
Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 80 bekas pemain sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka yang pernah mengharumkan nama negeri serta negara suatu ketika dahulu.