fb fb fb fb fb

Sultan Selangor minta penyokong Selangor FC jaga tingkah laku, elak provokasi

(FOTO FB Selangor Royal Office)

SHAH ALAM, 25 November- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan penyokong Selangor FC agar menjaga tatatertib dan tingkah laku ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara pasukan itu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin berharap penyokong pasukan Merah Kuning tidak mencetuskan kekecohan serta mencemarkan nama baik pasukan termasuk terbabit dalam sebarang bentuk pergaduhan, walau apa pun keputusan perlawanan.

Menerusi hantaran itu juga, Sultan Selangor berharap setiap penyokong haruslah bersikap matang dan tidak melayan provokasi berlebihan.

Baginda mahu semua yang hadir ke stadium membawa bersama semangat kesukanan dan sorakan gemuruh, sekaligus memberi suntikan semangat kepada para pemain.
 
Baginda turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Selangor FC dan JDT.
 
(Latihan malam terakhir pasukan Selangor FC di Stadium KLFA Cheras/FOTO FB Selangor FC)
 
 

Media Baharu