(FOTO AFP)
AL KHOR, 26 November- Gareth Southgate menggesa pemain England untuk mengabaikan komen-komen negatif selepas mereka dicemuh berikutan keputusan seri 0-0 menentang Amerika Syarikat awal pagi tadi di Stadium Al Bayt.
Skuad Southgate mensia-siakan peluang untuk menempah tempat ke pusingan 16 terakhir dengan persembahan lesu yang hanya menampilkan satu percubaan tepat ke arah gol lawan.
Selepas membelasah Iran 6-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, The Three Lions disebut-sebut sebagai bakal juara dunia.
Penyokong England di Stadium Al Bayt meluahkan perasaan mereka dengan ejekan yang riuh-rendah bergema di sekeliling tempat penonton semasa wisel penamat.
Tetapi Southgate menegaskan pemainnya mesti mengabaikan kritikan dan ejekan tersebut kerana dia tidak mempunyai maslaah dengan prestasi mereka.
"Adakah kami dicemuh? Saya tidak pasti sama ada ia ditujukan kepada kami. Secara peribadi, saya sangat gembira dengan prestasi pemain menentang lawan yang sangat sukar," kata Southgate.
"Sudah tentu saya mahu penyokong kami pulang dengan gembira dan saya mahu penyokong kami di rumah mempunyai senyuman di wajah mereka. Kami tidak berjaya mencapainya hari ini. Tetapi saya tidak boleh membiarkan perkara itu menjejaskan pasukan.
"Kami perlu bertenang pada saat-saat ini. Kami pernah melalui kejohanan sebelum ini.
Meski sekadar mengutip satu mata, England kekal di tangga teratas Kumpulan B dan mereka akan layak ke pusingan 16 terakhir dan perlu mengelak kekalahan dengan kelebihan empat gol kepada Wales pada hari Selasa.
Southgate mengakui England tidak mempunyai sengat dan kualiti seperti ketika membenam Iran, menyalahkan persembahan hambar mereka disebabkan usaha gigih pemain The Yanks.
"Pemain sangat kecewa selepas perlawanan tetapi saya memberitahu mereka semuanya akan menjadi lebih baik. Mereka menunjukkan sisi lain kepada permainan mereka dan itu lebih penting," kata Southgate. - AFP
(FOTO AFP)