ALOR SETAR, 10 September - Skuad Futsal Kedah bangkit dari ketinggalan untuk mengikat juara bertahan, Pahang Rangers, 3-3 pada perlawanan peringkat suku akhir pertama Piala Futsal Malaysia 2024 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Kedah terlebih dahulu di depan hasil jaringan Nattawat Luksanato pada minit ke 6.
Namun Pahang Rangers bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Felipe de Souza pada minit ke 10.
Tatkala Kedah cuba mengatur langkah lebih tersusun, pasukan pelawat bingkas mengambil kesempatan dengan menjaringkan gol kedua menerusi Guntur Sulistyo Ariwibowo pada minit ke 26.
Pahang Rangers terus menggandakan jaringan dengan gol ketiga menerusi Sirhan Aiman Saipubahrim seminit selepas itu.
Kedah yang mendapat sokongan padu penyokong setia Hijau Kuning tampak tidak mudah menyerah kalah.
Nattawat berjaya merapatkan jurang dengan gol kedua pada minit ke 36.
Nattawat sekali lagi muncul wira pasukan tuan rumah dengan gol ketiga sekaligus jaringan hatrik peribadinya pada minit ke 37.
Kedudukan 3-3 kekal hingga tamat perlawanan.
Perlawanan Suku Akhir kedua dijadual berlangsung pada 14 atau 15 September ini.