fb fb fb fb fb

Sukma Kuala Lumpur tawar 426 pingat emas

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Sebanyak 426 acara melibatkan 31 jenis sukan bakal dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan bermula dari 16 hingga 24 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma, Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata berdasarkan pendaftaran pada senarai pendek 10 Ogos lepas, seramai 6,606 atlet daripada 15 kontinjen bertanding telah mengesahkan penyertaan.

Jelasnya, jawatankuasa yang bermesyuarat semalam turut mengesahkan penyertaan Brunei dalam temasya kali ini, yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang dan Langkawi, Kedah.

(RTM sebagai rakan penyiar rasmi bagi Sukma Edisi ke-20 / FOTO FAIL)

"Sebanyak 43 venue pertandingan di lima zon dikenal pasti, iaitu Kuala Lumpur (lapan jenis sukan dan dua sukan demonstrasi di 10 venue), Bangi (sembilan sukan di 13 venue), Bukit Jalil (sembilan sukan di 10 venue), Shah Alam (lapan sukan di sembilan venue) dan Pulau Langkawi (perahu layar).

"Bola sepak adalah sukan pertama yang akan memulakan sepak mula pada 12 September dan seterusnya tiga sukan iaitu wushu, berbasikal lebuh raya dan sepak takraw akan memulakan aksi pada 14 September," katanya.

Sukan olahraga dan akuatik bakal menjadi lubuk emas apabila masing-masing menawarkan 44 dan 43 pingat emas.

Manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dijadikan sebagai kluster perkampungan utama yang menempatkan 4,203 orang.

Majlis perasmian dan penutup masing-masing dijadualkan pada 17 dan 24 September di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi.

RTM sebagai rakan penyiar rasmi bagi Sukma Edisi ke 20 akan menyiarkan laporan bagi liputan acara-acara sukan terpilih.

Media Baharu