SHAH ALAM, 3 Ogos- Kerajaan Selangor menawarkan ganjaran kemenangan RM10,000 kepada atlet individu yang berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata untuk acara berpasukan dengan lima pemain ke bawah pula akan menerima imbuhan RM5,000 setiap seorang.
“Ganjaran sebegini sudah ditetapkan sejak 2015 dan mengambil kira perubahan masa, kita ingin pertingkatkan atau menyemak semula ganjaran kepada atlet selepas tempoh yang agak lama.
“Saya harap ini dapat memberikan semangat tambahan untuk diterjemahkan kepada pencapaian atlet dan kontinjen negeri pada SUKMA kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke temasya SUKMA 2024 di sini hari ini.
Pada edisi kali ini, Selangor akan menyertai kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan dan menyasarkan 61 pingat emas menghantar 1,050 individu merangkumi 704 atlet, 213 pegawai pasukan serta 133 sekretariat pasukan.
Selangor pernah menjuarai SUKMA sebanyak sembilan kali dan pada SUKMA 2022 kontinjen negeri itu mengakhiri temasya pada tempat keempat dengan kutipan 32 emas, 54 perak dan 45 gangsa.