fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Terengganu, Kedah sumbang emas acara kriterium

(Foto kiri) Mohammad Afi Danial Ramli (tengah) menjuarai acara kriterium lelaki. (Foto kanan) Nur Fitrah Shaari (tengah) menjuarai acara kriterium wanita

KUCHING, 17 Ogos- Pelumba berbasikal Terengganu mendominasi saingan lebuh raya apabila mengungguli acara kriterium lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 hari ini.

Pingat emas itu diperoleh menerusi Mohamad 'Afi Danial Ramli dengan kutipan 19 mata, manakala rakan sepasukan Mohd Iqbal Daniel Mohd Nawawi menamatkan aksi dengan pingat perak dan pelumba dari Melaka, Muhammad Hafiq Mohd Jafri meraih pingat gangsa.

Perlumbaan di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini itu merupakan pingat emas peribadi kedua Mohamad 'Afi menerusi acara kriterium dalam temasya berkenaan.

Sementara itu, kayuhan bertenaga Nur Fitrah Shaari berjaya menghadiahkan pingat emas untuk kontinjen Kedah bagi acara kriterium wanita dengan 20 mata.

Yeong Zhen Yi dari Wilayah Persekutuan pula meraih perak, manakala Ameera Alya Zahirrudin dari Terengganu memenangi gangsa.

Nur Fitrah menghadiahkan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa untuk kontinjen Kedah dalam saingan berbasikal lebuh raya.

Acara kriterium merupakan saingan terakhir untuk sukan berbasikal lebuh raya yang melabuhkan tirainya hari ini.

SITI AISHAH MD ISA