fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Pahang komited mahu jadi antara lima negeri terbaik

LOGO SUKMA XXI SARAWAK 2024

KUANTAN, 24 April- Pahang komited memperbaiki kedudukan negeri dalam temasya Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) yang berlangsung di Sarawak pada Ogos nanti.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan pelbagai penilaian dan inisiatif bagi memastikan Pahang menduduki kelompok lima negeri terbaik.

"Untuk SUKMA kali ini, Pahang serius untuk memperbaiki kedudukan, dahulu kita di tempat kesembilan.

"Penganjuran kali ini Pahang berada di landasan paling baik dan Pahang akan berjuang bersungguh-sungguh di Sarawak nanti," katanya selepas menerima kunjungan hormat Delegasi SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Wisma Sri Pahang di sini.

Pada SUKMA 2022, Pahang menamatkan saingan di temasya itu di kedudukan kesembilan daripada 15 kontinjen yang bertanding.

Di temasya itu menyaksikan Pahang mengutip keseluruhan 70 pingat, masing-masing 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa.

Pada SUKMA Sarawak kali ini, Pahang mempertaruhkan 603 atlet, masing-masing 327 lelaki dan 276 wanita dengan penyertaan 36 daripada 37 sukan yang disenaraikan.

SITI AISHAH MD ISA