fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Lebih 500 peserta sertai Larian Baton Bahagian Miri

Acara Larian Baton Bahagian Miri sempena SUKMA ke-21 di Dataran Kipas Miri

MIRI, 28 April- Lebih 500 peserta menyertai acara Larian Baton Bahagian Miri sempena SUKMA ke-21 di Dataran Kipas Miri yang merupakan lokasi kedua untuk Program Larian Baton selepas Bahagian Limbang.

Program Larian Baton ini diadakan di setiap 12 bahagian.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lambat hadir menyempurnakan Larian Baton Bahagian Miri yang bertujuan untuk mempromosikan SUKMA 2024 dan juga PARA SUKMA 2024.

Beliau mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.

Dalam teks ucapan Datuk Sri Lee yang dibacakan oleh Datuk Dr Ripin, menyatakan program tersebut bagi memberi peluang kepada penduduk di setiap pelusuk Sarawak merasai bahang kehangatan SUKMA dan Para SUKMA yang bukan hanya di sembilan bahagian yang menjadi lokasi pertandingan, malah semua bahagian dan daerah di Sarawak.

Tambahnya, SUKMA pada tahun ini adalah merupakan SUKMA yang terbesar dalam sejarah kerana melibatkan 37 sukan dengan melibatkan 484 acara yang dipertandingkan.

Sebanyak enam sukan yang akan dipertandingkan di Bahagian Miri iaitu sukan pelayaran, ragbi, lawan pedang, karate, sofbol dan pencak silat.

Sebagai tuan rumah SUKMA 2024, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang kondusif, memberikan sokongan yang berkekalan dan memastikan setiap peserta merasai pengalaman yang bermakna.

Justeru, sokongan daripada semua pihak diperlukan bagi menjadikan SUKMA 2024 sebagai acara yang berjaya dan meninggalkan impak positif kepada perkembangan sukan negara.

Selain itu juga, beliau memberitahu peluang kali ini juga perlu dijadikan ruang untuk mengeratkan hubungan yang baik dan menyambut kehadiran peserta dan pengunjung luar ke Sarawak dengan mesra.

Acara Larian Baton sempena SUKMA Malaysia ke-21 Bahagian Miri pagi tadi disertai oleh atlet sukan kelahiran Miri iaitu Watson Nyambek (Sprinter), Pengiran Bala (Bola Sepak), Abu Bakar Amran (Bola Sepak), Jamil Ali (Pelayaran), Abang Azharudin @ Jenang Abdullah ( Olahraga), Jarvis Anak Julian (Karate), Azri Asmat Sefri (Bina Badan), Lim Teck Leong ( Lompat Jauh), Ngu Kit Ming (Lontar Peluru) dan Kuan We Wei (Lompat Tinggi).

Lokasi seterusnya yang menerima Larian Baton adalah Bahagian Bintulu pada 11 Mei 2024 diikuti Bahagian Mukah pada 12 Mei 2024.

ROSLINA BINTI DIN