fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Kedah sasar tiga emas dalam acara angkat berat

Pengumuman Yahaya Sani (baju kemeja corak kotak-kotak) sebagai Presiden PABK bagi sesi 2024-2026

ALOR SETAR, 1 Januari- Persatuan Angkat Berat Kedah (PABK) menyasarkan tiga pingat emas pada Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Kedah akan menghantar seramai 16 atlet angkat berat bagi menyertai beberapa kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos itu.

Presiden PABK yang baharu Yahaya Sani berkata, lapan atlet lelaki dan lapan atlet wanita dikenal pasti untuk mengalas tanggungjawab tersebut.

"Kita akan berusaha untuk melahirkan atlet yang berkemampuan untuk bersaing di peringkat SUKMA dan insya-Allah kita akan keluarkan sasaran (yang sebenar) selepas melihat keupayaan atlet-atlet yang ada.

"Sekarang ini kita sasar yang 64 (kilogram) tu... dua lagi tu kita tengok pada pertandingan nanti Insya-Allah..." katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Presiden PABK yang baharu pada Mesyuarat Agung PABK bagi sesi 2024-2026 di sini.

Yahaya mengantikan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Ismasuhaimi Shariff.

Beliau pernah diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen SUKMA negeri Kedah pada tahun 2018 berkata PABK akan terus mengcungkil bakat-bakat baharu angkat berat di Kedah seperti Aznil Bidin yang cemerlang meraih dua pingat emas pada Sukan Komanwel 2022.

Kejayaan terbaharu atlet angkat berat Kedah iaitu Nur Syazwani Radzi menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori 64 kilogram wanita pada Sukan Sea 2023 membuktikan negeri itu mempunyai ramai atlet berbakat dalam sukan tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI