SEPANG, 1 Januari- Pemain sayap lincah negara, Mohamad Faisal Abdul Halim tekad membalas kepercayaan ketua jurulatih, Kim Pan Gon dengan memberikan aksi konsisten sepanjang kejohanan di Qatar.
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, segala persiapan telah dilakukan termasuk melakukan analisis terhadap kekuatan dan kelemahan lawan dalam saingan kumpulan E.
"Kita sebagai pemain, kita perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk memberi prestasi yang terbaik untuk pasukan."
Kita pun ada analisis pasukan. Maka, menerusi analisis itu yang akan menentukan 90 minit di Qatar nanti," kata Faisal kepada pemberita.
Hasil daripada perancangan Pan Gon yang meningkatkan intensiti semasa kem latihan pusat yang berlangsung pada 26 Disember lalu, Faisal kini berada dalam tahap kecergasan terbaik.
Sementara itu, pemain tengah Harimau Malaya, Natxo Insa optimis Malaysia mempunyai peluang untuk menyerlah pada saingan Piala Asia.
Insa mengakui negara memiliki ramai pemain muda yang berbakat dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi namun pemain perlu ada kepercayaan terhadap diri sendiri untuk menewaskan lawan.
Dalam pada itu, Insa turut menyatakan kegembiraan apabila diberi peluang untuk kembali beraksi bersama Harimau Malaya di kejohanan tersebut.
Jelasnya, dia akan menggunakan segala pengalamannya untuk membantu pasukan negara meraih keputusan positif dalam kejohanan berkenaan.
Selain Jordan, Malaysia turut diundi bersama Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.