BANGKOK, 10 Disember -Skuad badminton lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 0–3 kepada Indonesia pada final berpasukan lelaki Sukan SEA Thailand 2025 di Gimnasium Thammasat Rangsit, hari ini.
Malaysia bermula langkah kiri apabila perseorangan pertama, Leong Jun Hao, kecundang 12–21, 19–21 kepada lawannya, Alwi Farhan, dalam pertarungan selama 46 minit.
Acara beregu pula menyaksikan pasangan utama negara, Aaron Chia – Soh Wooi Yik, turut gagal mengubah rentak apabila tunduk 12–21, 12–21 kepada gandingan Sabar Karyaman Gutama – Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Keputusan itu meletakkan Malaysia ketinggalan 0–2.
Harapan untuk kembali bangkit tidak kesampaian setelah perseorangan kedua, Justin Hoh, tewas 12–21, 14–21 kepada pemain ranking ke-48 dunia, Mohammad Zaki Abdullah.
Kekalahan itu memuktamadkan kemenangan 3–0 Indonesia sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam acara berpasukan.
Walaupun tewas di final, skuad negara tetap membawa pulang pingat perak dan kini menumpukan perhatian kepada saingan individu yang bermula esok.