JAKARTA, 23 Ogos - Kontinjen Malaysia meneruskan rentak cemerlang di Sukan SEA Pekak 2025 apabila menambah sembilan lagi pingat emas pada hari kedua, sekali gus mengumpul 15 emas keseluruhan.
Pencapaian itu menyamai kutipan emas yang membawa Malaysia muncul juara edisi sulung 2022 di Kuala Lumpur.
Dalam acara olahraga, skuad negara melakar sejarah dengan menyapu bersih 10 emas, melepasi sasaran awal enam emas.
Antara penyumbang utama ialah Azlan Kuste yang meraih emas kedua peribadi dalam 1,500 meter serta Muhammad Shahrul Azmeer Azman yang turut menggandakan koleksi menerusi acara 200 meter.
Nur Andrina Zainuddin pula menepati status selaku pelari pecut selepas menang acara 200 meter.
Emas turut diraih menerusi kuartet 4x400 meter lelaki Malaysia A, selain kejayaan Zaiman Megat Abu dalam lompat jauh dengan lompatan 6.82 meter, manakala Hazrul Shah Hamri melengkapkan kemenangan satu-dua negara dengan perak.
Di gelanggang tenpin boling, gandingan Ho Choon Seng–Mohd Firdaus Mohamad menjuarai beregu lelaki, manakala pasangan Siong Mui Hong–Siw Sing He memastikan emas beregu wanita.
Sementara itu, arena catur turut menyumbang dua emas menerusi Loo Pin Xie (standard lelaki) dan Ainnur Asyikin Jupineh (standard wanita).
Kejayaan ini mengekalkan Malaysia di tangga teratas carta pingat dengan 15 emas, sekali gus membuka peluang besar untuk mencapai sasaran 16 emas esok serta mencipta rekod baharu dalam sejarah temasya.