HANOI, 9 Mei - Penerjun negara, Ooi Tze Liang nyata tidak berdepan masalah mengungguli acara 1 meter papan anjal lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 selepas mengutip 377.70 mata sekali gus menghadiahkan emas ketiga buat negara.
Menurut Tze Liang, kemenangan ini diharap mampu memberikan semangat serta tonik baharu untuk barisan pelapis muda mengikuti jejak langkahnya.
Ini merupakan emas kedua buat Tze Liang selepas memenangi acara 3 meter papan anjal seirama lelaki bergandingan Chew Yi Wei pada hari pertama semalam.
Manakala pingat perak dimenangi penerjun Singapura, Avvir Tham Pac Lun yang memperolehi 286.40 mata dan pingat gangsa milik seorang lagi penerjun negara yang beraksi buat kali pertama pada temasya Sukan SEA, Bertrand Rhodict Lises yang mengumpul 284.90 mata.
(Penerjun negara, Ooi Tze Liang sebelum melakukan terjunan pada acara 1 meter papan anjal lelaki Sukan SEA Hanoi 2021)
Terdahulu, skuad terjun telah menghadiahkan emas dan perak pertama buat negara menerusi Nur Dhabitah Sabri dan Kimberly Bong menerusi 1 meter papan anjal individu wanita.
Sementara itu, penerjun muda negara, Betrand yang meraih pingat gangsa menyifatkan ia sebagai mimpi menjadi nyata apabila perubahan mata di saat akhir membolehkannya meraih pingat pertama Sukan SEA dalam kariernya.
Ia sekali gus menjadi titik permulaan terbaik serta pembakar semangat baharu buat dirinya dalam memperbaiki prestasinya untuk kejohanan lain.