BANGKOK, 9 Disember - Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) secara rasmi membuka tirainya di Bangkok pada Selasa dengan kawalan keselamatan untuk para atlet diperketat susulan pertempuran terbaharu di sempadan Thailand–Kemboja.
Sukan SEA berlangsung sehingga 20 Disember di Bangkok dan wilayah pesisir berhampiran, Chonburi, melibatkan ribuan atlet dari 11 negara Asia Tenggara yang bertanding dalam pelbagai acara termasuk bola sepak, lawan pedang, papan selaju, pelayaran dan sukan tempur.
Antara bintang yang mengambil bahagian ialah pemenang emas angkat berat Olimpik, Hidilyn Diaz dari Filipina dan Rizki Juniansyah dari Indonesia, serta pemenang perak badminton Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Raja dan Permaisuri Thailand dijadual merasmikan upacara pembukaan di Stadium Nasional Rajamangala pada Selasa malam, menampilkan persembahan artis Thailand terlatih Korea Selatan, BamBam.
Jauh dari venue pertandingan, pertempuran yang tercetus semula minggu ini akibat pertikaian sempadan berlarutan antara Thailand dan Kemboja telah meragut enam nyawa orang awam Kemboja dan tiga anggota tentera Thailand, selain mencederakan lebih 20 mangsa.
Atas faktor keselamatan, Kemboja bulan lalu menarik balik kira-kira separuh atletnya, serta menarik diri daripada lapan acara termasuk bola sepak, gusti, judo dan karate.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Thammanat Prompao, berkata Thailand akan memastikan tahap keselamatan tertinggi untuk atlet Kemboja sepanjang ketegangan sempadan yang sedang berlaku.
Pasukan keselamatan akan dikerahkan bagi menjamin keselamatan mereka, katanya, namun butiran operasi tidak didedahkan.
Thailand kembali menjadi tuan rumah selepas kali terakhir pada 2007.
Sukan SEA turut terkenal dengan penyertaan sukan bukan Olimpik dari rantau ini seperti sepak takraw, bola sepak voli menggunakan bola rotan dan pencak silat.-AFP