HANOI, 19 Mei- Skuad boling lelaki dan wanita negara masing-masing meraih pingat perak acara berpasukan, biarpun mengungguli hari pertama saingan Sukan SEA ke-31 berlangsung di Pusat Boling Heroworld, Vincom Megamall Royal City hari ini.
Bagaimanapun, kejayaan diraih barisan pemain muda yang membuat debut di temasya dwitahunan itu harus diberikan pujian.
Shahrukh Amin Zulkifli, Nevern Nataneel Marcellinus, Mohd Syazirol Shamsudin and Mohd Hafiz Zainuddin tidak dapat mempertahankan gelaran juara berpasukan lelaki apabila tewas kepada pasukan Filipina yang diwakili Patrick Nugui, Christian Viray, Ivan Malig dan Merwin Matheiu Tan.
Pasukan negara melakukan keseluruhan 5,162 jatuhan pin, ketinggalan 113 pin di belakang Filipina manakala Mohd Jaris Goh, Timothy Tham, Darren Ong dan Cheah Ray Han dari Singapura meraih gangsa dengan 4,963 pin.
Sementara itu, kuartet wanita Nerosha Keligit, Nur Syazwani Sahar, Nora Lyana Natasha dan Gillian Lim Siew Geok mempertahankan pingat perak dengan 4,951 pin.
(Skuad boling berpasukan memenangi pingat perak acara lelaki dan wanita
Sukan SEA Hanoi 2021 di Vincom Megamall, Hanoi pada Khamis/FOTO BERNAMA)
Singapura yang diwakili Daphne Tan, Bernice Lim, New Hui Fen dan Cherie Tan mempertahankan pingat emas dimenangi selepas menyempurnakan 5,049 jatuhan pin manakala Putty Armein, Shinta Yunita, Sharon Limansantoso dan Tannya Roumpiper menghadiahkan pingat gangsa buat Indonesia dengan 4,843 pin.
Nur Syazwani berkata keadaan lorong pada blok kedua hari ini agak mencabar sekali gus gagal mengekalkan kedudukan teratas, namun tetap gembira dengan keputusan yang dicapai.
“Ia satu debut yang baik untuk kami. Saya sangat gembira dengan keputusan ini, terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara) kerana memberi peluang kepada saya.
“Saya telah lakukan yang terbaik, perlu terus lebih kuat. Pada Sukan SEA akan datang (edisi 2025, kerana edisi 2023 di Kemboja, sukan boling tidak dipertandingkan), sasaran peribadi saya adalah untuk menang emas acara perseorangan dan membantu pasukan mendapatkan tempat lebih baik,’ katanya.
Dua hari lepas, Nur Syazwani dan Gillian menghadiahkan pingat gangsa acara berpasangan wanita.-BERNAMA