fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Ada pelan B untuk skuad kuadran

Ketua jurulatih skuad negara, Ahmad Jais Baharun /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Skuad sepak takraw negara telah merangka pelan B sebagai langkah berjaga-jaga jika tonggak utama acara kuadran tidak sempat pulih sepenuhnya menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun memaklumkan beberapa pemain utama seperti Azlan Alias, Farhan Adam dan Norfaizzul Razak kini sedang menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN), sekali gus memberi sedikit tekanan terhadap persiapan akhir pasukan.

"Kami masih meneruskan latihan persiapan memantapkan pemain dari segi serangan dan pertahanan. Cuma dari segi persiapan akhir, kami harap pemain terus fokus dan tidak berlaku kecederaan kepada mereka," katanya ketika menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah di pusat latihan pasukan kebangsaan.

Sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, pelan B yang dirangka termasuk memulakan latihan simulasi untuk beberapa pemain baharu bagi mengisi kekosongan dalam acara kuadran sekiranya diperlukan.

“Selain itu, sebagai langkah persiapan akhir, skuad akan berlepas ke Ratchaburi, Thailand dari 19 hingga 24 November untuk menjalani siri perlawanan ujian menentang bekas pemain kebangsaan Thailand,” tambahnya.

Mengulas mengenai sasaran pingat, Ahmad Jais menjelaskan beliau sedar akan harapan tinggi yang diletakkan oleh Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), iaitu membawa pulang dua pingat emas menerusi acara regu lelaki dan kuadran lelaki. ###

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN