RIYADH, 17 Oktober - Bintang bola sepak Arab Saudi, Salem Al-Dawsari sekali lagi mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai Pemain Terbaik Asia 2024 buat kali kedua.
Salem, yang baru sahaja membantu negaranya melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, mengetepikan dua calon lain termasuk pemain sensasi Malaysia, Arif Aiman dan pemain Qatar, Akram Afif.
Kemenangan ini menjadikan Al-Dawsari sebagai pemain ketujuh dari Arab Saudi yang merangkul anugerah tersebut sejak anugerah sulung diraih legenda Saeed Al-Owairan pada tahun 1994.
Dalam kategori wanita, pertahanan Jepun, Hana Takahashi dinobatkan sebagai Pemain Wanita Terbaik Asia 2024, mengatasi pencabar dari Australia, Holly McNamara dan pemain China, Wang Shuang.
Dia menjadi pemain keenam dari Jepun yang memenangi anugerah berkenaan.
Bagi kategori pemain antarabangsa, pemain tengah Paris Saint-Germain dari Korea Selatan, Lee Kang-in, dipilih sebagai Pemain Antarabangsa Terbaik Asia, manakala Maika Hamano dari Chelsea dan Jepun membawa pulang anugerah untuk kategori wanita.
Sementara itu, jurulatih dari Korea Utara, Ri Song Ho menerima pengiktirafan sebagai Jurulatih Terbaik Asia selepas membimbing skuad wanita negaranya menjulang kejuaraan Piala Dunia B-20 Wanita di Colombia tahun lalu. - REUTERS
