fb fb fb fb fb

Skuad menembak negara sasar empat emas di Sukan SEA 2025

Pengurus pasukan menembak kebangsaan, Mejar (B) Jasni Shaari/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Skuad menembak kebangsaan menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya empat pingat emas pada temasya Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand, Disember ini.

Pengurus pasukan, Mejar (B) Jasni Shaari, berkata sasaran itu disandarkan kepada kekuatan barisan penembak berpengalaman termasuk Johnathan Wong, Nur Suryani Mohamed Taibi, dan Alia Sazana Azahari, yang pernah beraksi di pentas antarabangsa seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

“Tidak dinafikan Vietnam dan Indonesia adalah pencabar utama, tetapi mereka juga menghormati kemampuan kita. Kita mempunyai penembak handalan seperti Johnathan, Nur Suryani, dan Alia yang sudah biasa dengan tekanan pertandingan besar.

Kami menjangkakan banyak pingat dan yakin mampu meraih sehingga empat emas,” katanya demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah, di venue latihan skuad menembak di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Jasni turut memaklumkan bahawa seramai 29 atlet akan mewakili negara dalam tiga disiplin utama iaitu pistol, raifal (rifle), dan shotgun.

Tambahnya, barisan penembak kali ini dilihat mempunyai potensi besar untuk mencabar gelaran juara keseluruhan bagi acara menembak pada temasya dwitahunan itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD