fb fb fb fb fb

SK Serdang UPM juara edisi pertama Piala Magnolia F&N U-12

SK Serdang UPM dinobatkan pemenang sulung Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) Piala Magnolia F&N

KUALA SELANGOR, 16 Oktober – SK Serdang UPM mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara sulung Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) Piala Magnolia F&N selepas menewaskan SK Taman Melati 1-0 dalam aksi final yang berlangsung di Padang SK Bandar Baru, Kuala Selangor, hari ini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Muhammad Arif Mohd Radzuan pada minit ke-18, sekali gus memastikan kemenangan bersejarah buat pasukan SK Serdang UPM selepas beraksi dalam kejohanan yang menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Jurulatih SK Serdang UPM, Muhammad Amir Fiqrie, melahirkan rasa gembira dan berbangga dengan kejayaan itu, sambil berharap kejohanan berkenaan akan diteruskan pada tahun depan.

“Kami sangat gembira dinobatkan sebagai pemenang pertama Piala Magnolia. Ia satu pencapaian bersejarah dan kejohanan ini menjadi saluran baik untuk mencungkil bakat muda,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa pasukannya terpaksa mengubah strategi selepas kehilangan tiga pemain utama akibat kecederaan, namun semangat juang tinggi menjadi kunci kemenangan.

“Kejohanan ini tidak mudah kerana kami menentang juara daerah. Ia sangat kompetitif dan kami berharap dapat menyertai lagi pada tahun depan,” tambahnya.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, SK Putrajaya Presint 9 (2) menewaskan SK Sultan Hisamuddin Alam Shah 3-1 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar.

Kejohanan selama tiga hari bermula 13 hingga 16 Oktober itu dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia serta Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N).

Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian, terdiri daripada juara Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sebelah, dengan juara dan naib juara kumpulan mara ke peringkat kalah mati.

Tuan rumah Selangor diwakili oleh 10 pasukan, manakala Kuala Lumpur dengan empat pasukan dan Putrajaya dua pasukan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD