KATHMANDU, 16 Oktober – Nepal telah mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk membatalkan kemenangan 2-0 Malaysia pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung Mac lalu.
Negara itu mendakwa Malaysia menurunkan pemain tidak layak.
Bulan lalu, FIFA menggantung tujuh pemain kelahiran luar Malaysia selama setahun dan mengenakan denda AS$440,000 (RM2.07 juta) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mendapati dokumen asal-usul keturunan pemain berkenaan telah dipalsukan.
Salah seorang daripada tujuh pemain terbabit, Hector Hevel, menjaringkan gol pembukaan Malaysia dalam perlawanan yang berlangsung di Johor.
“Kami telah mengemukakan aduan berhubung pemain tidak layak yang diturunkan dalam perlawanan tersebut.
"Oleh itu, keputusan perlawanan perlu dibatalkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal (ANFA), Indra Man Tuladhar, kepada AFP.
FIFA sebelum ini menuduh FAM menyerahkan dokumen yang diubah suai atau palsu bagi membuktikan bahawa tujuh pemain berkenaan mempunyai keturunan Malaysia sekali gus layak mewakili negara, namun FAM menafikan sebarang salah laku.
Siasatan FIFA mendapati tiada seorang pun daripada tujuh pemain itu mempunyai ibu bapa atau datuk nenek yang dilahirkan di Malaysia.
Kesemua tujuh pemain tersebut turut beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia pada Jun lalu.
Ketika ini, Nepal berada di tangga tercorot Kumpulan F tanpa sebarang mata selepas empat perlawanan, manakala Malaysia mendahului kumpulan dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata) dan Laos (3 mata). - AFP
