KUALA LUMPUR, 31 Julai – Malaysia akan memanfaatkan peluang menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 untuk memperkukuh imej negara di mata dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata selain Sukan SEA 2027, negara turut dijadual menganjurkan beberapa kejohanan sukan antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kesempatan menganjurkan sukan berprestij sebegini akan dimanfaatkan untuk memperteguh imej Malaysia di persada antarabangsa. Ia juga menjadi medan penting dalam menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Selain Kuala Lumpur, penganjuran Sukan SEA 2027 turut melibatkan tiga negeri lain iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
RMK13 yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan merupakan pelan pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.