LOS ANGELES, 31 Julai – Bekas bintang NBA, Gilbert Arenas, bersama lima individu lain ditahan berhubung dakwaan mengendalikan operasi judi haram membabitkan permainan poker di kediamannya di Encino, California.
Menurut Pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat bagi Daerah Tengah California, Arenas, 43, berdepan tiga pertuduhan iaitu konspirasi menjalankan perniagaan perjudian haram, mengendalikan perniagaan perjudian haram, serta membuat kenyataan palsu kepada penyiasat persekutuan.
Arenas dijadual dituduh di Mahkamah Daerah AS, Los Angeles pada Rabu petang. Jika sabit kesalahan, dia bakal berdepan hukuman maksimum lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan.
Turut didakwa, Yevgeni “Giora” Gershman, 49; Allan “Elica” Austria, 52; Evgenni “Eugne” Tourevski, 48; Yarin “YC” Cohen, 27; dan Ievgen Krachun, 43 semuanya California.
Menurut pertuduhan, operasi judi haram itu berlangsung dari September 2021 hingga Julai 2022, dengan Arenas menyewakan rumah agamnya untuk permainan poker “Pot Limit Omaha” dan permainan lain, mengenakan caj sama ada berdasarkan peratusan atau jumlah tetap setiap pusingan.
Manakala Gershman dilaporkan sebagai tokoh jenayah terancang berpangkalan di Israel. Dia dikatakan mengupah wanita untuk melayan pemain, termasuk memberi minuman, urutan dan teman sosial, dengan pendapatan mereka turut dikenakan bayaran komisen oleh penganjur. Turut diupah ialah cef, valet dan pengawal keselamatan bersenjata.
Arenas, bekas All-Star tiga kali dan pilihan kedua pasukan All-NBA (2006-07), pernah bermain untuk Golden State Warriors, Washington Wizards, Orlando Magic dan Memphis Grizzlies, dengan purata 20.7 mata dan 5.3 umpanan dalam 552 perlawanan musim biasa.
Kariernya sebelum ini dicemari insiden membawa senjata api ke dalam bilik persalinan pada 2009 ketika bersama Wizards, yang menyebabkannya digantung sepanjang musim 2009-10.-REUTERS