fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025 : Skuad senior jadi taruhan misi pertahan emas

Foto Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)

KUALA LUMPUR, 6 Disember - Malaysia dijangka menurunkan skuad senior lelaki bagi misi mempertahankan kejuaraan hoki padang pada Sukan SEA 2025, yang bakal berlangsung di Chonburi, Thailand dari 11 hingga 19 Disember ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memaklumkan skuad negara berada pada landasan terbaik untuk terus menguasai acara dwitahunan itu selepas meraih 17 pingat emas sejak penyertaan sulung di Kuala Lumpur pada 1971 hingga edisi terakhir di Kemboja pada 2023.

"Malaysia yang kini telah mengumpul 17 pingat emas bagi acara hoki padang lelaki sejak penyertaan dalam temasya dwitahunan itu bermula di Kuala Lumpur pada 1971 hingga edisi terakhir di Kemboja pada 2023, akan mempertaruhkan skuad senior bagi edisi kali ini.

"Sepanjang tempoh tersebut, skuad negara hanya sekali menamatkan saingan selaku naib juara, iaitu pada Sukan SEA 1973 di Singapura.

"Acara yang berlangsung di National Sports University, Chonburi bakal mempertemukan lima negara melibatkan Malaysia, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Singapura dengan format pertandingan bermain secara kumpulan sebelum empat pasukan terbaik mara ke separuh akhir," menurut kenyataan itu.

Speedy Tigers akan memulakan cabaran bertemu Myanmar pada 12 Disember sebelum turun menentang Indonesia keesokan harinya.

Saingan diteruskan dengan pertemuan menentang Singapura pada 15 Disember, manakala aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu tuan rumah, Thailand pada 16 Disember.

Aksi separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 18 Disember dengan pasukan tangga pertama akan bertemu pasukan di kedudukan keempat, manakala naib juara kumpulan berdepan pasukan di tempat ketiga.

Pemenang akan bertemu di pentas akhir pada 19 Disember bagi menentukan siapa yang membawa pulang pingat emas.

Sementara itu Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata, daripada 18 pemain yang dibawa, 15 pemain merupakan mereka yang beraksi di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini sementara tiga lagi pemain adalah mereka yang tidak tersenarai ketika beraksi di Ipoh Perak.

"Kami mengekalkan skuad yang sama ketika beraksi di Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini dan membawa masuk tiga pemain yang tidak tersenarai. Tiga pemain tersebut ialah Najib Hassan, Alfarico Jr dan Amanraj Singh.

"Ini merupakan peluang untuk tiga pemain ini beraksi dan membuktikan kemampuan mereka dan saya melihat tiga pemain ini mempunyai potensi serta bersedia sepenuhnya untuk beraksi di pentas besar seperti Sukan SEA," katanya.

Para pemain turut diingatkan bahawa persaingan dalam kalangan negara ASEAN semakin meningkat dan tidak ada lagi istilah lawan mudah, biarpun Malaysia memiliki ranking yang jauh lebih baik.

"ASEAN kini penuh dengan pasukan yang mahu mencabar Malaysia. Kami hormati semua lawan. Fokus kami bukan fikir tentang siapa bukan tandingan, tetapi memastikan kami bermain mengikut standard sendiri dan membawa pulang pingat emas," katanya lagi.

Mengulas mengenai tekanan selaku pasukan pilihan, Sarjit mengakui ia perkara biasa, namun menekankan bahawa pemain perlu menjadikannya sebagai suntikan motivasi bukan bebanan.

Sukan SEA disifatkan sebagai sebahagian penting dalam persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia dan ia akan dimanfaatkan untuk mempertajamkan set-piece, transisi, serta pengurusan permainan bagi memastikan Malaysia mencapai momentum terbaik apabila berdepan cabaran lebih besar selepas ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI