fb fb fb fb fb

Sukan Sea 2025: Skuad badminton sasar rangkul empat pingat emas

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Disember - Kem badminton negara mensasarkan tujuh pingat, termasuk empat emas, pada Sukan SEA Thailand 2025 yang akan bermula minggu hadapan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, sasaran itu dianggap realistik berdasarkan prestasi terkini pemain serta rekod pertemuan mereka dengan pencabar utama serantau.

Menurutnya, sasaran pingat emas tertumpu pada acara beregu campuran, beregu lelaki, beregu wanita dan acara berpasukan lelaki.

"Kalau kita bercakap, kita kena realistik. Pada awalnya, kita tak sasar emas dalam berpasukan sebab sangka Indonesia akan turunkan Jonatan Christie dan skuad penuh. Tapi bila mereka umum pasukan sebenar, peluang kita meningkat," katanya pada sidang media di ibu negara.

Rexy menjelaskan, kekuatan utama Malaysia hadir menerusi dua beregu lelaki elit Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini berada di ranking kedua dunia, serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun, ranking kelima dunia.

Skuad negara mempertaruhkan kombinasi pemain senior dan pelapis, termasuk Leong Jun Hao, Justin Hoh serta gandingan beregu campuran Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.

Di kem wanita, antara sandaran utama ialah Pearly Tan–M. Thinaah selain K. Letshanaa dan Wong Ling Ching yang dijangka menggalas cabaran dalam acara perseorangan.

Pada edisi 2023 di Kemboja, Malaysia membawa pulang dua perak dan empat gangsa tanpa sebarang emas, sekali gus meletakkan misi lebih besar untuk bangkit kali ini.

Acara badminton kategori berpasukan akan berlangsung dari 7 hingga 10 Disember, diikuti acara individu dari 11 hingga 14 Disember di Universiti Thammasat, Bangkok.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD