BANGKOK, 15 Disember – Malaysia menamatkan kemarau lapan tahun pingat emas acara gimnastik berirama berpasukan wanita Sukan SEA selepas mempamerkan aksi cemerlang pada aksi akhir di Kampus Universiti Thammasat Rangsit, Pathum Thani.
Skuad negara yang dibarisi Valeria Ng, Bernice See, Syamimi Amalia Shahrizam, Carol Yuan, Ng Joe Ee, Mavia Wong, Lim Xian Yar, Miai Ong Xiao Han dan Lai Yun Jo menampilkan rutin konsisten dalam semua aparatus, mengumpul 234.60 mata, sekali gus menewaskan Thailand (222.36 mata) dan Filipina (174.42 mata).
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia kembali ke puncak acara berpasukan buat kali pertama sejak edisi Kuala Lumpur 2017, selepas beberapa tahun kekal kompetitif tetapi hanya meraih pingat dalam acara individu dan aparatus.
Peneraju pasukan, Ng Joe Ee, 20, memainkan peranan penting melalui pengalaman dan ketenangan, selepas sebelum ini mencipta nama dengan pingat perak Sukan SEA 2021 dan dua emas Sukan Komanwel 2022.
Prestasi cemerlang itu turut melengkapkan kempen positif kem gimnastik negara di Sukan SEA 2025, dengan Rachel Yeoh Li Wen meraih emas acara palang bertingkat wanita, manakala Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menyumbang emas acara lombol lelaki yang dikongsi bersama gimnas Filipina.
Sharul Aimy turut meraih gangsa acara kekuda berpelana, sementara Luqman Al Hafiz Zulfa memenangi perak acara senaman lantai lelaki, menambahkan koleksi pingat negara.