fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Kontinjen Malaysia pilih laluan darat ke Songkhla

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin/RTM

KUALA LUMPUR, 17 November - Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025 di Songkhla akan melakukan perjalanan menggunakan laluan darat dengan menaiki bas.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jarak perjalanan yang lebih dekat ke sempadan dari Kuala Lumpur berbanding menaiki pesawat.

Langkah tersebut melibatkan atlet dan pegawai daripada sembilan jenis sukan yang dipertandingkan di Songkhla, termasuk pencak silat, muay thai, karate, wushu, gusti, judo dan catur.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata pergerakan kontinjen akan dilakukan secara berperingkat bermula tiga hari sebelum pertandingan.

“Antara yang dibincangkan ialah masa perjalanan dan keperluan rehat yang mencukupi. Untuk Songkhla, memandangkan jaraknya sangat dekat dengan sempadan, kita telah berbincang dengan konsulat di Thailand, pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) dan juga imigresen di sempadan bagi memudahkan pergerakan.

"Dengan perjalanan darat, kontinjen akan menginap satu malam di UUM sebelum bergerak ke Songkhla dalam keadaan yang lebih segar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Penajaan antara MSN dan syarikat barangan sukan, Corporate Hero Century Sdn Bhd (PACE), di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Jefri turut menjelaskan perjalanan darat mengambil masa kira-kira enam jam dari Kuala Lumpur sebelum disambung dengan perjalanan sejam setengah dari sempadan ke Songkhla.

Sementara itu, Hannah menegaskan kontinjen negara akan meneruskan pendekatan meletakkan sasaran jumlah keseluruhan pingat, bukan mengikut warna pingat, pada edisi Sukan SEA kali ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan analisis pakar dari Nippon Sport Science University, Jepun, yang merupakan rakan strategik MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Universiti itu sendiri telah memenangi 40 pingat emas di Olimpik. Mereka mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri bagi mengurangkan tekanan kepada atlet. Pandangan tersebut telah disuarakan kepada pasukan MSN dan kita gunakan formula ini ketika Sukan Asia Hangzhou dan ia diterima baik oleh para atlet,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN