fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Harimau Malaya B-23 terkandas di separuh akhir

Pemain Malaysia, Mohd Haizon Muhammad Haykal Danish diasak pertahanan pasukan tuan rumah Thailand pada perlawanan separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025/Foto BERNAMA

BANGKOK, 15 Disember – Hasrat skuad Harimau Malaya B-23 untuk melangkah ke pentas akhir tidak kesampaian selepas tewas tipis 0-1 kepada tuan rumah Thailand pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Rajamangala, di sini.

Thailand berada di depan seawal minit kelapan menerusi sepakan percuma Yotsakorn Burapha yang menewaskan penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani.

Situasi Malaysia bertambah sukar apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-16 selepas Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil dilayangkan kad kuning kedua.

1512 SKN SEA BOLA SEPAK GAGAL 2 Pemain Malaysia, Muhammad Nabil Muhammad Aiman Yusuf (dua, kanan) dilayangkan kad kuning ketika menentang pasukan tuan rumah pada perlawanan separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025/Foto BERNAMA

Meskipun beraksi kekurangan seorang pemain, skuad kendalian Nafuzi Zain tetap memberikan tentangan sengit dan hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan Haykal Danish Mohd Haizon serta Faris Danish Mohd Asrul, namun gagal menemui sasaran.

Thailand meningkatkan asakan dalam 20 minit terakhir perlawanan, namun Zulhilmi tampil cemerlang apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.

Malaysia turut mencipta peluang di penghujung perlawanan, namun keputusan kekal memihak Thailand.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mara ke perlawanan akhir buat edisi keempat berturut-turut sejak 2017.

Skuad negara seterusnya akan berdepan Filipina dalam aksi penentuan tempat ketiga, manakala Thailand dijadual menentang Vietnam pada perlawanan akhir, Khamis ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN