fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Emas lompat jauh milik Andre Anura

Atlet olahraga negara, Andre Anura Anuar/Foto BERNAMA

BANGKOK, 15 Disember – Atlet olahraga negara, Andre Anura Anuar menebus kekecewaan gagal mempertahankan pingat emas acara lompat kijang apabila muncul juara lompat jauh lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025.

Beraksi di Stadium Nasional Supachalasai, Andre mendominasi acara berkenaan dengan lompatan sejauh 7.71 meter, sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun Malaysia meraih emas lompat jauh lelaki sejak kali terakhir dimenangi Mohd Shahrul Amri Suhaimi pada edisi Hanoi 2003.

Pingat perak dimenangi bekas juara edisi 2023 di Kemboja, Janry Ubas dari Filipina dengan lompatan 7.64m, manakala gangsa menjadi milik atlet Singapura, Andrew George Medina (7.53m).

Andre, yang juga pemegang rekod kebangsaan lompat jauh (8.02m), mengakui menghadapi tekanan tinggi memandangkan semua pencabar utama memiliki rekod peribadi melebihi 8m.

Namun, ketenangan dan keyakinan terhadap kemampuan diri membolehkannya menghadiahkan emas kepada negara, menebus kekecewaan dalam acara lompat kijang sebelum ini.

Pada acara lompat kijang Khamis lalu, Andre sekadar meraih perak selepas melakukan lompatan 16.29m, hanya 0.04m di belakang pemenang emas dari Vietnam, Ho Trong Manh Hung, sekali gus menamatkan rekod kejuaraannya selepas memenangi emas pada edisi 2021 dan 2023.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN