KUALA LUMPUR, 28 November - Sebanyak 206 atlet dan pegawai negara yang dijadualkan ‘berkampung’ di Songkhla sempena Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan akan dipindahkan ke Bangkok susulan banjir yang melanda wilayah selatan Thailand.
Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini memaklumkan pihaknya sudah bersedia untuk membantu pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyelaraskan perpindahan itu.
“MSN telah mengadakan mesyuarat penyelarasan dalaman untuk tujuan itu dan telahpun berhubung dengan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Nurul Huda Abdullah dan timbalan-timbalan CDM selain telah memaklumkan kepada setiap pengurus pasukan dan semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) terbabit.
“Tindakan memindahkan atlet itu berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13 dipengerusikan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Atthakorn Sirilatthayakon semalam, yang mengesahkan semua 10 jenis sukan dijadual berlangsung di Songkhla dipindahkan ke Bangkok,” menurut kenyataan itu.
Menurut MSN, langkah pemindahan dibuat demi memastikan penganjuran tetap boleh berlangsung dalam keadaan terkawal selain menangani kebimbangan mengenai bahaya keselamatan kesihatan atlet yang mungkin terjejas susulan banjir.
Atlet negara yang terlibat dalam acara berlangsung di Songkhla membabitkan Muay Thai, pencak silat, bola sepak lelaki, catur, judo, kabaddi, karate, petanque, wushu dan gusti.
“MOM akan memaklumkan pengesahan gelanggang bagi semua jenis sukan ini sebaik mendapat kepastian daripada penganjur,” menurut MSN.
MSN juga telah menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk mendapatkan bantuan bagi tujuan perpindahan itu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, MSN dan MOM turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani sebarang isu tambahan yang mungkin timbul membabitkan kontinjen negara susulan situasi semasa.
Sukan SEA 2025 di Thailand dijadualkan pada 9 hingga 20 Dis ini.- BERNAMA