fb fb fb fb fb

Sukan Para Asia 2022: Kontinjen Malaysia tekad cipta sensasi di Hangzhou

Menteri Belia dan Sukan bergambar bersama atlet semasa majlis pelepasan Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di KLIA pada 16 Oktober lalu)

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Debaran kontinjen Malaysia untuk memburu 35 pingat pada Sukan Para Asia 2022 mula dirasai apabila temasya itu bakal membuka tirainya secara rasmi, esok di Hangzhou, China.

Meneruskan momentum positif pastinya menjadi tumpuan 113 atlet para negara bakal beraksi.

Hasrat atlet para negara untuk meraih kecemerlangan untuk rakyat Malaysia sentiasa menjadi fokus utama mereka.

Menurut Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022, K M Rajendran kesemua atlet telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi cabaran kali ini.

"Saya tengok secara mata kasar atlet pun dengan semangat yang tinggi and Sukan Asia yang bulan lepas itu pun agak berjaya, jadi yang itu akan memberi satu kesan yang positif kepada atlet para untuk membuat satu lagi kejutan, semangatnya memang bagus sekarang ini", katanya.


(Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022, K M Rajendran)

Pada penyertaan kali ini, seramai 54 atlet adalah muka baharu dan bakal menjadi penampilan sulung mereka pada Temasya Hangzhou.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh optimis mereka mampu mecipta kejayaan biarpun kali pertama beraksi pada Sukan Asia.

"Itu sebab yang semua pergi ini mereka rasa yakin dan saya percaya dengan atlet para kita tidak ada isu bahawa mereka akan rasa takut ataupun tidak dapat melakukan yang terbaik, mereka selalunya cemerlang dalam pencarian pingat", katanya.

Sukan seperti olahraga, renang dan powerlifting akan menjadi sandaran utama untuk kontinjen para negara pada penyertaan Sukan Para Asia 2022.

Semangat dalam kalangan atlet para negara kini membara untuk mencipta sensasi di bumi China. Potensi mereka bakal diuji di Hangzhou...Ayuh seluruh rakyat Malaysia berikan sokongan anda kepada wira, wirawati negara pada Sukan Para Asia 2022 ini.

Laporan disediakan oleh, Wartawan RTM, Amirul Aizad Mohd Shafie

Media Baharu