fb fb fb fb fb

Sukan mingguan RTM: Suka duka atlet negara

(Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou kekal momentum juara/FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Sorotan sukan minggu RTM kali ini memaparkan pelbagai kejayaan manis serta suka duka yang diraih oleh atlet-atlet negara.

Antara yang mencuri tumpuan, kejayaan kelab bola sepak Kuala Lumpur (KL) City FC yang mencipta sejarah dalam laluannya di kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022.

Liek Hou raih gelaran ke-13 berturut-turut di Thailand

Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou terus mengukir nama di peringkat antarabangsa.

Terbaharu, pemain perseorangan berusia 34 tahun itu muncul juara di kejohanan Badminton Para Antarabangsa di Pattaya, Thailand menundukkan seterunya dari Taiwan, Fang Jen-Yu 22-20, 21-15 dalam kategori SU5, kecacatan fizikal.

Kejuaraan tersebut merupakan gelaran ke-13 berturut-turut yang dimenanginya.

Kejayaan diraihnya di Thailand sangat bermakna menjelang Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

Dua kategori baharu Anugerah 100Plus Perpaduan SAM 2020/2021

Anugerah 100Plus Perpaduan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021 akan berlangsung pada 6 September ini.

Menariknya, anugerah tahun ini akan mengabungkan 2 edisi iaitu tahun 2020 dan 2021.

Penyertaan untuk anugerah kewartawanan sukan tetap mendapat sambutan luar biasa yang menyaksikan lebih 150 penyertaan diterima.

Sebanyak tujuh anugerah kewartawanan bakal diberikan serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel.

Turut diperkenalkan pada edisi kali ini adalah dua kategori baru iaitu dengan kerjasama kementerian perpaduan iaitu artikel dan fotografi perpaduan terbaik.

Piala AFC 2022: KL City juara zon Asean, tundukkan PSM Makassar 5-2

Sejarah tercipta buat pasukan KL City FC apabila berjaya muncul juara Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022.

Skuad kendalian Bojan Hodak menundukkan wakil Indonesia, PSM Makassar 5-2 pada aksi final di laman sendiri sekaligus melayakkan KL City peringkat seterusnya.

Kemenangan The City Boys juga disifatkan sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 65 tahun.

SUKMA Ke-20: 426 acara meliputi 31 jenis sukan dipertandingkan

Sebanyak 426 acara melibatkan 31 jenis sukan bakal dipertandingkan pada temasya yang akan bermula dari 16 hingga 24 September ini.

Seramai 6,606 atlet daripada 15 kontinjen bertanding telah mengesahkan penyertaan termasuk Brunei turut menyertai temasya kali ini, yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang dan Langkawi.

Sukan olahraga dan akuatik bakal menjadi lubuk emas apabila masing-masing menawarkan 44 dan 43 pingat emas.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai rakan penyiar rasmi bagi Sukma Edisi ke 20 kali ini akan menyiarkan laporan pagi dan petang bagi liputan acara-acara sukan terpilih.

Sivasangari semakin pulih dijangka kembali ke gelanggang Januari depan

Kem skuasy negara terus memberikan berita gembira, harapan dan sinar buat arena sukan.

Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya 26 Jun lepas dijangka kembali ke gelanggang Januari 2023.

(Pemain skuasy negara, S Sivasangari/FOTO BERNAMA)


Atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia 23 tahun itu kini menerima rawatan berkala daripada Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan kesihatannya berada pada tahap terbaik.

Laporan wartawan meja sukan Firdaus Mokhtar.

Media Baharu