fb fb fb fb fb

Sukan Komanwel Birmingham : Pearly-Thinaah sandaran terbaharu raih emas badminton

(Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah/ Foto FB BAM)

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Tumpuan kini beralih ke arah kategori beregu untuk mencapai sasaran dua pingat emas yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak menyertai Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Beregu wanita yang kian meningkat naik, Pearly Tan-M. Thinaah, mula menjadi sandaran untuk membawa pulang kilauan pingat berkenaan pada temasya yang akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berkata prestasi semasa Pearly dan Thinaah yang agak konsisten sejak saingan Piala Uber, memberi harapan bahawa mereka mampu menghadirkan sesuatu di Birmingham nanti.


(Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky/ Foto fail)

"Kita harus letak sasaran beregu wanita, siapa lagi..Pearly dengan Thinaah, dengan mereka punya cara yang cukup positif mulai Piala Uber sampai Terbuka Indonesia, itu sangat positif, saya harap mereka konsisten dan saya rasa punya peluang untuk bawa balik pingat emas," kata beliau.

Sepanjang musim 2022, pasangan nombor 10 dunia itu berjaya meraih pingat gangsa di Kejohanan Berpasukan Asia dan mara sehingga ke suku akhir Kejuaraan All England serta Kejuaraan Badminton Asia di Filipina.

Juara Terbuka Switzerland 2021 itu juga hampir mencipta kejutan apabila mara ke separuh akhir Masters Indonesia.

Media Baharu