HANGZHOU, 7 Oktober - Atlet kumite lelaki negara, Muhamad Arif Affifudin Ab Malik mendedahkan terpaksa bertarung dalam kesakitan ketika beraksi pada final acara kumite bawah 84 kilogram.
Penyumbang pingat emas keenam negara itu mengalami kecederaan pada bahagian belakang dan tulang rusuk.
"Saya ambil ubat penahan sakit dan ada kuranglah," kata Muhammad Arif.
Kecederaan itu bagaimanapun tidak menghalang atlet berusia 23 tahun itu menumpaskan pemenang pingat gangsa edisi 2018 dari Kazakhstan, Daniyar Yuldashev 10-4.
Kali terakhir kontinjen karate merangkul pingat emas Sukan Asia adalah pada edisi 2014 di Korea Selatan.
Kilauan pingat negara ketika itu disumbangkan Lim Chee Wei dalam acara Kata lelaki dan Syakilla Salni Jefry Krisnan menerusi saingan Kumite wanita.
Sementara itu, dua lagi atlet karate negara menerima nasib berbeza selepas terkandas dalam acara masing-masing.
Atlet lelaki, S.Prem Kumar yang beraksi pada saingan kumite bawah 67 kilogram tumpas 0-8 di tangan atlet dari Kazakhstan.
Perjuangan P.Madhuri pula tersekat di pusingan 16 apabila tewas kepada atlet dari Jordan, Mansour Leen bagi kategori bawah 55 kilogram.
Madhuri tumbang 2-11 di tangan lawannya, Mansour Leen.