fb fb fb fb fb

Sukan Asia: Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir

(FOTO FB Olympic.Council.Malaysia)

HANGZHOU, 6 Oktober - Juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menjadi wakil tunggal negara melangkah ke separuh akhir yang bakal berlangsung hari ini.

Gandingan ranking ke-5 dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum menyingkirkan wakil tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dalam aksi 'rubber set'.

Saingan berlansung di Gimnasium Binjiang itu menyaksikan wakil negara berjaya menyerap tekanan untuk menang set pertama 21-18 namun tewas pada set berikutnya 19-21.

Enggan terus berputih mata, Aaron-Wooi Yik meningkatkan tempo permainan dan mengungguli set penentuan dengan keputusan 21-18.

Wakil negara itu bakal menentang gandingan ranking ketiga dunia, Satwik-sairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dalam aksi seterusnya.

Malaysia bagaimanapun tidak mempunyai wakil perseorangan lelaki di peringkat separuh akhir.

Ini selepas harapan utama negara, Lee Zii Jia disingkirkan HS Prannoy dari India dengan kekalahan 16-21, 23-21, 20-22.

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut gagal melangkah ke separuh akhir selepas tewas kepada gandingan tuan rumah, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.

Gandingan China itu nyata mendominasi set pertama dengan permainan pantas untuk menang 21-14.

Bersambung set kedua, Tang Jie dan Ee Wei cuba mencipta kebangkitan dengan memberi tentangan sengit, namun Siwei-Yaqiong berjaya mengawal tekanan untuk menoktahkan kemenangan 23-21.

Biarpun menampilkan semangat melawan yang tinggi, pemain di ranking ke-16 dunia itu terpaksa akur tumpas dalam tempoh 78 minit.



(FOTO FB BAMalaysia)

Media Baharu